Thursday 29 November 2012

BUNGA KEBANGSAAN


Malaysia juga mempunyai bunga kebangsaan yang tersendiri. Pernahkah murid-murid mendengar dan melihat Bunga Raya?
Bunga Raya juga dikenali dengan nama Hibiscus merupakan bunga kebangsaan.
bunga Raya dipilih sebagai bunga kebangsaan kerana bunga ini banyak terdapat di negara Malaysia. 
Ianya mempunyai lima kelopak sama seperti lima prinsip dalam Rukun Negara.  

BAHASA KEBANGSAAN

Negara Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia digunakan dalam pelbagai urusan di negara Malaysia seperti yang berikut :
  1. Bahasa rasmi negara
  2. Bahasa pengantar di sekolah
  3. Bahasa utama di dalam masyarakta berbilang kaum
  4. Menjadi bahasa perpaduan semua bangsa di Malaysia    

JATA NEGARA

Pernahkah murid-murid mendengar perkataan JATA?
Apakah itu jata?
Jata bermaksud lambang sesebuah kerajaan.
Negara Malaysia yang berdaulat juga mempunyai jata negara.
Mari kita baca apakah yang terdapat pada jata negara Malaysia.




Jata Negara Malaysia

Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang di tunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia,

Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.

LAGU NEGARAKU

Pasti murid-murid semua sudah menghafal lagu Negaraku. Mari kita semak semula lirik lagu kebangsaan Malaysia.

NEGARAKU
Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju..
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan..
Raja kita selamat bertakhta,
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan..
Raja kita selamat bertakhta..

SEKARANG MARI KITA MENYANYIKAN LAGU NEGARAKU BERSAMA-SAMA
 

JALUR GEMILANG

Jalur Gemilang merupakan bendera negara Malaysia. Berikut adalah penerangan mengenai Jalur Gemilang.

Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini.

Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh itu Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Warna Merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.

Warna Putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan,

Warna Biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala

Warna Kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

RUKUN NEGARA


RUKUN NEGARA
Bahawasanya kami, rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami demi mencapai cita-cita tersebut, berdasarkan atas prinsip-prinsip yangberikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN  

MARI KITA BERNYANYI BERSAMA-SAMA 

PENDUDUK MALAYSIA

Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Masyarakat Malaysia terdiri daripada kaum-kaum yang berikut :

  1. Melayu
  2. Cina
  3. India
  4. Peribumi Sabah
  5. Peribumi Sarawak
  6. Orang Asli

ORANG MELAYU
  • Merupakan kaum utama di negara Malaysia
  • Mempunyai sejarah yang cukup lama menduduki negara ini.
  • Mengamalkan ajaran agama Islam.
ORANG CINA

  • Kaum kedua yang terbesar di Malaysia.
  • Menduduki negara Malaysia selepas dibawa masuk oleh pihak British sebelum merdeka.
  • Mengamalkan ajaran Buddha, Kristian dan juga Islam.
ORANG INDIA

  • Kaum ketiga yang terbesar.
  • Juga dibawa dari Tanah Besar India oleh pihak British sejak sebelum merdeka.
  • Mengamalkan ajaran agama Hindu, Kristian dan juga Islam.
PERIBUMI SABAH

  • Terdiri daripada kaum seperti Kadazan, Murut, Dusun, Suluk, Bajau, Sungai, Tidong, Idahan, Rungus, Jawa dan sebagainya. 
  • Menduduki negeri Sabah.
  • Mengamalkan ajaran agama Islam,Kristian dan ada juga yang masih mengamalkan kepercayaan nenk moyang.
PERIBUMI SARAWAK

  • Terdiri daripada kaum seperti Iban, Melayu Sarawak, Bidayuh, Kayan, Visaya , Brunei dan sebagainya.
  • Menduduki negeri Sarawak.
  • Mengamalkan pelbagai kepercayaan seperti agama Islam, Kristian dan juga kepercayaan nenek moyang.
ORANG ASLI

  • Terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia.
  • Mempunyai keistimewaan dari segi pengambilan hasil hutan.
  • Mengamalkan ajaran nenk moyang dan ada juga yang telah memeluk ajaran agama Islam dan Kristian.

PUSAT PENTADBIRAN MALAYSIA

Setiap negara di dunia mempunyai sebuah pusat pentadbirannya sendiri. Begitu juga dengan negara Malaysia. Bagi negara Malaysia, pusat pentadbiran utamanya adalah di Wilayah persekutuan Putrajaya.

Marilah kita melihat video tentang keindahan Putrajaya melalui tayangan video di bawah.



BENDERA NEGERI DALAM MALAYSIA

Berikut merupakan corak dan reka bentuk bendera negeri-negeri di dalam Malaysia.

BENDERA NEGERI SABAH
Bendera Negeri Sabah berbentuk empat persegi bujur pada kada 1 : 2. Petak utama dalam bendera ini luasnya separuh bendera dan buka lebarnya 2/3 bendera. Petak ini berwarna biru salji sebagai latar belakang kepada bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berada dalam kedudukan 1/4 dari sempadan atas dan sempadan bawah petak utama. Bahagian lain dalam bendera ini terbahagi kepada tiga jalur warna melintang yang mana jalur yang paling bawah memenuhi kaki bendera. Jalur paling atas berwarna biru zirkon, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, putih melambangkan kemurnian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara warna nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.Lima jenis warna itu melambangkan lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri ini dan bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.

LAMBANG NEGERI SABAH
Lambang Negeri Sabah terdiri dari dua bahagian iaitu atas yang berupa dua lengan berwarna kuning sedang menjulang Bendera Negeri yang terletak di atas satu susunan lima warna Negeri iaitu biru zirkon, merah cili, putih, biru salji dan nilakandi. Di bawahnya iaitu tubuh utama lambang ini yang berbentuk sebuah perisai. Bahagian atas perisai ini tersusun tiga warna Negeri iaitu biru zirkon, putih dan merah cili dalam bentuk V. Bahagian bawah perisai ini terdapat bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berlatarbelakangkan warna biru salji. Perisai itu dipangku oleh sehelai skrol berwarna merah yang tertulis dengan cogankata negeri Sabah "Sabah Maju Jaya" berwarna putih.Dua lengan yang menjulang Bendera Negeri itu melambangkan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat berbagai kaum di negeri ini ke arah kemajuan dan kejayaan.Lima warna yang tersusun itu bermakna lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri Sabah. Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, warna putih melambangkan kemurnian dan keadilan. Merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Biru Salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.Bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.


BENDERA NEGERI SARAWAK
Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh.Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpaduan serta stabiliti dalam masyarakat yang berbilang kaum.Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.Bintang yang berwarna kuning bermuncung sembilan melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal di dalam harmonis.Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat kita dan hasrat perjuangan kita untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.

LAMBANG NEGERI SARAWAK

Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang: terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi "politik pembangunan". Lencana negeri ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

BENDERA NEGERI TERENGGANU
Latar belakang berwarna putih maksudnya D.Y.M.M. Sultan. Ia melingkungi tanah hitamyang bermakna rakyat - oleh itu bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.



LAMBANG NEGERI TERENGGANU
Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Di Raja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Undang-undang. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula melambangkan keadilan. Wali/Selampai melambangkan Alat-alat Istiadat Kebesaran.



BENDERA NEGERI SELANGOR
Empat bahagian yangberwarna kuning dan merah itu maksudnya daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, iaitu agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.


LAMBANG NEGERI SELANGOR
Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di Kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai iakt pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.



BENDERA PULAU PINANG
Warna biru muda maksudnya warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih maksudnya negeri Pulau Pinang yang aman damai. Warna kuning tanda kemakmuran. Pohon pinang ialh pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.



LAMBANG NEGERI PULAU PINANG
Pohon pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Besar Pulau Pinang yang mempunyai dua (2) tiang dan empat (4) kabel yang menegakkan tiang tersebut. Dua (2) tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat (4) kabel pula menggambarkan empat (4) jenis keturunan di negeri ini iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima (5) tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.


BENDERA NEGERI PERLIS
Warna kuning maksudnya D.Y.M.M. Raja. Warna biru maksudnya rakyat. Bendera itu maknanya kerjasama yang erat di antara Raja dengan Rakyat baginda.



LAMBANG NEGERI PERLIS

Lengkaran padi itu maksudnya pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai tanda kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.


BENDERA NEGERI SEMBILAN
Tanah kuning itu maksudnya D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat. Sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.

LAMBANG NEGERI SEMBILAN
Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa yang lalu dengan British. Warna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang Di Pertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam gabungan lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda Kebesaran Yang Di Pertuan Besar.

BENDERA NEGERI MELAKA
Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

LAMBANG NEGERI MELAKA

Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia. Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka pada zaman dahulu. Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri. Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.



BENDERA NEGERI KELANTAN

Latar belakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk, rakyat Raja. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.

LAMBANG NEGERI KELANTAN
Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda Islam. Dua pucuk meriam maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa sedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke 14) yang kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu.
"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN" ialah cogankata negeri ini.

BENDERA NEGERI PAHANG
Bendera negeri Pahang Darul Makmur mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar.Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada Raja sebagai negeri beraja dan berdaulat.

LAMBANG NEGERI PAHANG

Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran.Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyur yang utama di Negeri Pahang.Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas.Gading yang bersilang dibawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar.Kalimah " Ya La Tif " bermaksud yang lemah lembut.Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan." Ya La Tif " juga dijadikan azimat yang berguna.

BENDERA NEGERI PERAK

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.
LAMBANG NEGERI PERAK

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah.Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi.Bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

BENDERA NEGERI KEDAH

Bendera negeri memaparkan bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam. Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya

LAMBANG NEGERI KEDAH

Lengkaran itu maksudnya padi, tanaman utama negeri ini. Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula tanda kekuasaan.

BENDERA NEGERI JOHOR

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.
"KEPADA ALLAH BERSERAH" ialah cogan negeri itu.


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Bendera Malaysia membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.
  • Merah : Melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia.
  • Putih : Melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
  • Biru : Melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi.
  • Kuning : Melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Bulan Bintang : Bulan bintang berwarna kuning yang menjadi lambang keIslaman dan Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur (merah, putih, biru) menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.

BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
Bendera baru bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua (2) warna utama iaitu biru dan kuning.Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.
  • Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
  • Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.
  • Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.
  • Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya

NEGERI-NEGERI DALAM MALAYSIA

Terdapat sebanyak 13 buah negeri dan 3 buah Wilayah Persekutuan yang bernaung di dalam Malaysia. Negeri dan wilayah tersebut adalah seperti yang berikut:

  1. Perlis
  2. Kedah
  3. Pulau Pinang
  4. Perak
  5. Selangor
  6. Negeri Sembilan
  7. Melaka
  8. Johor
  9. Pahang
  10. Terengganu
  11. Kelantan
  12. Sabah
  13. Sarawak
  14. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  15. Wilayah Persekutuan Labuan
  16. Wilayah Persekutuan Putrajaya
Marilah kita mengenal dan terokai setiap negeri tersebut. Kita akan mengenali perkara yang berikut :

  1. Bendera
  2. Lambang dan Jata Negeri
  3. Lagu Negeri
  4. Ibu Negeri
  5. Ketua Menteri atau Menteri Besar
  6. Mercu Tanda Negeri

LOKASI NEGARA MALAYSIA

Negara Malaysia terletak di kawasan Asia Tenggara. Kawasan Asia Tenggara terdiri daripada beberapa buah negara iaitu :
  1. Malaysia
  2. Indonesia
  3. Singapura
  4. Brunei Darussalam
  5. Filipina
  6. Thailand
  7. Myanmar
  8. Kemboja (Combodia)
  9. Laos
  10. Vietnam
  11. Timur Timor (Timor Leste)

Kita boleh merujuk peta dibawah tentang kedudukan dan lokasi negara Malaysia :



 PETA DUNIA
(Bolehkah murid-murid mengenal pasti lokasi negara Malaysia?)


  

 PETA ASIA TENGGARA
Sudah pasti murid-murid telah dapat mengetahui lokasi serta negara-negara yang berjiran dengan negara Malaysia.



 PETA NEGERI-NEGERI DI DALAM MALAYSIA


KENALI NEGARA MALAYSIA

NEGARA MALAYSIA

Negara Malaysia merupakan salah satu negara merdeka yang teletak di kawasan Asia Tenggara. Negara Malaysia telah merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Sehingga kini negara Malaysia menjadi antara negara di dunia yang sedang pesat membangun. Marilah kita pelajari dan juga kenali secara lebih tepat tentang negara Malaysia. 


 

RANCANGAN PENGAJARAN PSK TAHUN 4

Dalam subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, terdapat tema-tema yang mempunyai pecahan untuk dipelajari oleh murid-murid sepanjang setahun di dalam kelas Tahun 4. Marilah kita melihat secara ringkas akan tema dan topik-topik yang terdaapt dalam Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini.
Tema-temanya adalah seperti yang berikut mengikut urutan :

TEMA 1 : SAYANGI DIRI
TEMA 2 : SAYANGI KELUARGA
TEMA 3 : HIDUP BERSAMA DI SEKOLAH DAN MASYARAKAT
TEMA 4: KENALI BUDAYA MALAYSIA
TEMA 5 : MALAYSIA NEGARAKU
TEMA 6: SEDIA HADAPI CABARAN



Dalam perkongsian ilmu melalui laman blog ini, cikgu akan memberikan fokus kepada Tema 5 iaitu Malaysia Negaraku.

Dalam Tema 5 : malaysia Negaraku, terdapat dua bahagian pecahan topik pelajaran. Mari kita lihat pembahagian tersebut.

BAHAGIAN A
KENALI MALAYSIA
  • Lokasi Malaysia di peta dunia
  • Negeri-negeri di dalam Malaysia
  • Pusat Pentadbiran Malaysia
  • Penduduk Malaysia

BAHAGIAN B
BERBANGGA DENGAN IDENTITI NEGARA
  • Rukun Negara
  • Jalur Gemilang
  • Lagu Negaraku
  • Jata Negara
  • Bahasa Kebangsaan
  • Bunga Kebangsaan

Selain itu, cikgu akan memberikan maklumat berkaitan untuk menambahkan ilmu pengetahuan murid-murid sekalian. terima kasih kerana sudi mengunjungi blog cikgu.